Thursday, 14 May 2015

GST; Kerajaan Tidak Selesaikan Isu Kad Prabayar


Kuala Lumpur, kerajaan gagal untuk menggantikan cukai SST yang terdapat dalam kad prabayar (topup) kepada cukai GST seperti formula yang diwar-war menteri berkaitan.

Perkara itu disebut pengguna, Faris Sefie, 27, sebaik mendapati bahawa harga kad prabayar yang dibeli adalah sama dengan nilai yang diaktifkan. Namun, nilai yang sediaada 'available' untuk kegunaan pengguna susut kepada RM 9.40 setelah ditolak cukai GST  mengikut penggunaan.

Perkara itu ternyata berbeza dengan pengamalan kaedah cukai SST sebelum ini di mana pengguna akan mengaktifkan jumlah prabayar sebanyak RM10 dan akan menggunakannya dengan jumlah yang sama iaitu RM10.

Faris turut mempersoalkan GST yang menggantikan SST pada nilai cukai yang dikenakan adalah sama sebanyak 6% yang seharusnya tidak memberi apa-apa kesan kepada penggunaan nilai kad prabayar tersebut.

"Beli RM10 dapat RM10...tapi tetap kena GST masa guna topup..so kalau rm10 hanya boleh guna bersih RM9.40..So apa yang Shabery Cheek (Menteri) ni selesaikan kalau macam ni...Mana SST yang sebelum ni..dua-dua rakyat kena ke?" soal Faris Sefie.

Jelas Faris, rakyat seolah olah telah dikenakan dua kali cukai yang mana SST masih dikekalkan dan ditambah dengan cukai GST di dalam kad prabayar tersebut.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa harga kad prabayar kini dikekalkan selepas GST atas prinsip harga yang dikenakan pada kad tersebut adalah sama dengan nilai ketika ia diaktifkan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan menjelaskan formula bahawa cukai SST sebanyak 6% akan digantikan kepada cukai GST pada kadar yang sama 6% yang bakal mengekalkan harga kad prabayar kerana nilai tertera adalah termasuk cukai SST tersebut.

Namun sebaik sahaja GST dilaksanakan pada 1 April lalu, pelbagai isu berbangkit timbul sekaligus mewujudkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna selain tidak berpuas hati dengan perlaksanaannya kerana hasil perlaksanaan GST tidak sama seperti yang diwar-warkan kementerian berkaitan.

Read more...
Tuesday, 12 May 2015

Siapa Mhairi Black di Sebalik Tsunami Scotland?

Mhairi (Berambut Perang)
Gambar sumber: The Guardian.

Dengar nama sahaja, pasti ada akan keliru apatah lagi bagaimana hendak menyebutnya. Wanita muda berusia 20 tahun ini telah mengejutkan arena politik Britain apabila telah memenangi kerusi Dewan Rakyat Britain dalam Pilihan Raya Umum Khamis lalu. Tambah manis, Mhairi menewaskan Douglas Alexander, seorang calon ‘heavyweight’ Parti Buruh. Mhairi menerusi Parti Kebangsaan Scotland (SNP). Mhairi dan Douglas bertanding di kerusi Paisley dan Renfrewshire Selatan.

Sebelum itu, pada Pilihan Raya Umum baru baru ini, Parti Konservatif mendapat mandat dengan memperolehi 331 kerusi daripada 650 kerusi, melebihi majoriti yakni 326 kerusi. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron dipilih untuk menjadi Perdana Menteri. Seteru terdekat, Parti Buruh hanya mendapat 232 kerusi. Parti ketiga terbanyak, Parti Kebangsaan Scotland (SNP) dengan 56 kerusi. 31 kerusi baki dimenangi oleh parti-parti lain.

Anak kepada ahli perniagaan dan guru, selalu membicarakan mengenai politik di rumahnya. Mhairi mula serius menyertai politik dengan berkempen dalam referendum Scotland tahun lalu. Memecahkan rekod sejak James Dickson sebagai Ahli Parlimen termuda dalam sejarah politik moden Britain. James Dickson terpilih menjadi Ahli Parlimen pada usia 21 tahun pada 1880.
Mhairi bersama pemimpin utama SNP, Nicola Sturgeon (Kanan),
Alex Salmond (Tengah).
 

Ramai rasa ia melucukan apabila Mhairi terlalu muda kerana beliau hanya berumur 20 tahun. Malah rakan penulis ada juga berpendapat, di Malaysia mustahil ada calon bertanding pilihan raya semuda ini. Pada 2006, Kerajaan Britain telah menurunkan umur minimum untuk seseorang menjadi calon iaitu dari 21 tahun sehingga 18 tahun.Mhairi sebagai remaja biasa, menikmati zaman muda dengan menonton bola sepak. Penyokong Partick Thistle dan tidak menyukai gergasi bola sepak Scotland, Glasgow Celtic. Pelajar di Universiti Glasgow itu masih rasa terkejut dengan kemenangannya itu. Menurut beliau, penduduk di kawasan diwakilinya sudah marah dengan Parti Buruh dan mula menterjemahkan rasa mereka di peti undi dengan memilih SNP.
Logo rasmi SNP.


Mhairi, seorang anak muda yang telah mengegar dunia. Sumbangan seterusnya amat ditunggu-tunggu. Malah, beliaulah salah satu ahli parlimen SNP yang memberikan Tsunami Politik Scotland dengan menyaksikan parti itu meningkatkan bilangan Ahli Parlimen dari 6 pada penggal lalu kepada 56. Memang tsunami politik sebenar.


Ahmad Loqman Izzat merupakan penulis bebas menumpukan hal ehwal sukan sejagat. Berasal dari Terengganu tetapi membesar di Pahang. Merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Malaysia. Mempunyai laman sendiri di Facebook iaitu, Sepakan Korner Ahmad Loqman Izzat (SKALI).




Read more...
Tuesday, 5 May 2015

Rakyat Britain Memilih

Suasana di Tempat Pengundian
Gambar Sumber: The Independent.
Dalam keriuhan dunia menerima berita gembira bahawa Putera William menerima kelahiran puteri, Puteri Charlotte Elizabeth Diana baru-baru ini, ramai agaknya seperti terlupa bahawa United Kingdom sedang bersiap sedia mengadakan Pilihan Raya Umum pada 7 Mei ini. United Kingdom mengamalkan konsep parlimen Westminster yang menjadi dasar kepada sistem sama diamalkan di negara Komanwel seperti Kanada, Australia, New Zealand dan Malaysia.

650 kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan seperti Pilihan Raya Umum 2010 lalu. Pada 2010, Parti Konservatif menguasai Dewan Rakyat dengan 306 kerusi, kurang 20 kerusi untuk membentuk kerajaan mentadbir negara itu. Maka dengan gabungan Parti Liberal Demokrat yang mempunyai 57 parti, maka terjadilah kerajaan campuran gabungan dua parti. David Cameron selaku Ketua Parti Konservatif menjadi Perdana Menteri dan Nick Clegg selaku Ketua Parti Liberal Demokrat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Parti Buruh yang mentadbir beralih menjadi pembangkang utama. Parti Buruh meletakkan Ed Milliband sebagai Ketua buat pertama kali selepas mantan Perdana Menteri, Gordon Brown mengundurkan diri.

Namun tinjauan pendapat rakyat Britain menunjukkan begitu rapatnya margin antara dua parti utama yakni Parti Konservatif dan Parti Buruh. Semasa artikel ini ditulis, Parti Buruh mendahului dengan 34 mata berbanding Parti Konservatif dengan 31 mata. Parti Liberal Demokrat menerima penurunan peratusan amat mendadak sejak menyertai kerajaan campuran pada 2010 lalu. Kini, Parti Kemerdekaan United Kingdom (UKIP) mula menerima tempat sebagai parti ketiga pilihan rakyat Britain. Selain UKIP, Parti Hijau (Greens) juga telah menerima tempat dalam arena arus perdana politik negara itu. Dikatakan undi menyokong UKIP dan Greens akan diterima sebagai protes kepada tiga parti utama iaitu Konservatif, Buruh dan Liberal Demokrat.

Pilihan Raya Umum kali ini diramalkan sengit dan disifatkan pilihan raya laman sosial kerana bertambahnya pengaruh medium laman sosial di Internet. Boleh dikatakan setiap calon mempunyai laman sosial sendiri. Disebabkan itulah ada ramalan mengatakan parlimen bakal tergantung kerana tiada parti menerima majoriti. Sesebuah parti perlu memiliki minimum 323 kerusi untuk membentuk kerajaan mentadbir United Kingdom tersebut. Namun apa telah terjadi pada penggal dahulu, tiada parti tunggal dapat membentuk kerajaan kerana gagal mencecah 326 kerusi. Maka situasi kerajaan campuran terpaksa dilakukan atau kerajaan minoriti (parti terbanyak akan menjadi kerajaan meskipun parti-parti pembangkang lebih ramai wakil).

Parti Konservatif bersifat haluan kanan mempertaruhkan manifesto untuk mengadakan referendum kepada rakyat untuk keahlian UK dalam Kesatuan Eropah sebagai fokus utama. Parti Buruh yang spektrum politiknya kiri-tengah pula memperuntukkan tiada kenaikan Cukai Tambah Nilai (VAT) sebagai keutamaan. Parti Liberal Demokrat pula bercadang untuk elaun bebas cukai akan dinaikkan kepada 12,500 Pound Sterling. UKIP, parti yang berfokuskan untuk mengeluarkan UK daripada EU pula mencadangkan tiada cukai dikenakan kepada gaji minimum dan Greens berideologikan keutamaan menjaga alam sekitar pula menawarkan penamatan penswastaan Servis Hospital Kebangsaan (NHS). Kompilasi manifesto parti bertanding boleh dibaca di laman web Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Dari Kiri: Natalie Bennett (Greens), Nick Clegg (Liberal Demokrat), Nigel Farage (UKIP), Ed Miliband (Buruh), Leanne Wood (Plaid Cymru), Nicola Sturgeon (SNP), David Cameron (Konservatif)
Gambar Sumber: BBC
Menarik juga dalam kemeriahan Pilihan Raya Umum ini apabila sokongan parti bersifat tempatan seperti Parti Kebangsaan Scotland (SNP) dan Parti Wales (Plaid Cymru) bertanding di kerusi dalam negara Scotland dan Wales mula meningkat. Begitu juga beberapa parti di Ireland Utara. Malah ada juga parti kecil seperti Respect, Parti Kebangsaan Britain (BNP) turut bertanding. Menariknya tidak ada satu kawasan daripada 650 kawasan menghadapi pertandingan satu lawan satu. Semua kerusi akan ada minimum 3 calon bertanding. Perdana Menteri, David Cameron sendiri menghadapi 11 calon lain di Witney, kawasan diwakilinya. Timbalannya, Nick Clegg pula menghadapi 7 calon lain di Sheffield Hallam manakala Ketua Pembangkang, Ed Milliband turut bertemu 7 calon lain di Doncaster Utara. 13 calon telah bertanding di satu kawasan parlimen dalam wilayah Greater London, kawasan menyaksikan calon teramai bertanding. Hanya satu kawasan sahaja menyaksikan 3 calon bertanding.

Baru-baru ini juga diadakan debat antara ketujuh-tujuh parti di atas. Rakaman debat tersebut boleh ditonton di Youtube. Selain itu, debat sesama parti pembangkang penggal lalu pun turut diadakan. Malah, ada debat antara parti tempatan Wales, Scotland dan Ireland Utara turut diadakan. Akhir sekali sesi soal jawab terbuka dan secara langsung telah diadakan BBC antara David Cameron, Nick Clegg dan Ed Milliband mewakili parti masing-masing.

Debat 7 Penjuru
Gambar Sumber: Euronews
Pada hari mengundi, pengundi hanya perlu membawa Kad Pengundian yang telah dihantar ke rumah mereka. 20 April lalu merupakan tarikh akhir untuk penduduk layak mengundi untuk mendaftar mengundi. Selain rakyat tempatan, rakyat negara Komanwel juga dibenarkan mengundi. Pengundian bakal berlangsung pada 7 Mei ini bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam (5 pagi waktu Malaysia). Pengiraan akan terus dibuat sehingga dinihari.

Sekiranya mana-mana parti mencapai majoriti mudah sebanyak 323 kerusi, ketua parti tersebut akan diminta ke Istana Buckingham untuk mengadap Ratu Elizabeth II untuk membentuk kerajaan penggal 2015-2020. Namun begitu, sekiranya tiada parti mencapai majoriti mudah, David Cameron bakal memegang kuasa sebagai Perdana Menteri sehinggalah ada satu kesepakatan antara parti-parti lain mewujudkan kerajaan campuran melalui majoriti mudah 323 kerusi atau lebih daripada itu. Namun begitu, David Cameron melalui partinya, Konservatif masih boleh berunding dengan parti lain untuk mencapai jumlah kerusi dimiliki untuk membentuk kerajaan secara rasmi.

Sebagai konklusi, meskipun sistem Pilihan Raya di Britain dan Malaysia hampir sama, tetapi masih ada perbezaan kerana budaya dan pengamalan. Harapan penulis cuma satu, siapapun menjadi Perdana Menteri Britain akan datang, beliau seharusnya mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Britain sebagai rakan rapat utama dalam Komanwel. Selain itu, hubungan ini penting juga kerana Britain merupakan antara negara utama dalam Barat dan Malaysia merupakan negara utama Dunia Islam. Hubungan erat dua blok ini penting untuk kestabilan dunia ini.



Ahmad Loqman Izzat merupakan penulis bebas menumpukan hal ehwal sukan sejagat. Berasal dari Terengganu tetapi membesar di Pahang. Merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Malaysia. Mempunyai laman sendiri di Facebook iaitu, Sepakan Korner Ahmad Loqman Izzat (SKALI).



Read more...
Friday, 1 May 2015

Kenapa Harga Barang Naik Selepas #GST

Pulau Pinang - Isu GST semakin mendapat perhatian mahasiswa setelah sebulan perlaksanaannya menunjukkan kesan kenaikan harga barang yang berbeza dengan kenyataan beberapa ahli politik yang menekankan bahawa GST mampu mengurangkan harga barangan.

Oleh itu, wartawan UNC telah cuba mendapatkan jawapan daripada salah seorang Pemikir JASA, Lokman Noor Adam yang pernah berdebat bersama Rafizi Ramli di Universiti Malaya mengenai isu GST.

Berikut merupakan jawapan beliau kenapa harga barang naik selepas sebulan perlaksanaan GST:

Sebulan telah berlalu, namun hasrat Kerajaan untuk melihat beban cukai yang ditanggung oleh rakyat berkurangan, masih belum dapat direalisasikan. Sungguhpun punca sebenar kenaikan harga barang majoritinya berpunca daripada sikap peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, namun apabila GST itu sendiri gagal difahami, sebahagian rakyat akhirnya mengambil jalan mudah dengan menyalahkan Kerajaan yang melaksanakan GST. Rencana saya ini mempunyai 2 bahagian. Bahagian pertama, apa yang sepatutnya berlaku selepas perlaksanaan GST. Bahagian kedua, kenapa kenaikan harga barang pula yang berlaku secara melampau selepas GST.

PERTAMA

Sepertimana yang kita ketahui, sebahagian besar harga barangan sebelum perlaksanaan GST sudahpun mempunyai elemen cukai jualan sejak tahun 1972. Kadar cukai jualan ialah 5%,10%,20% atau nilai spesifik. Semenjak tahun 1975 pula kita sudah ada Cukai perkhidmatan pada kadar 6% atau nilai spesifik seperti yuran Tahunan Kad Kredit RM50 setahun. Dalam masa yang sama, dibawah sistem lama SST, wujud elemen cukai bertindih. Contohnya, kalau kita makan maggi dirumah, kita cuma bayar cukai jualan 5%, tapi kalau makan maggi di Restoran Pelita umpamanya, kita akan membayar cukai bertindih sebanyak 11% iaitu 5% cukai jualan + 6% Cukai Perkhidmatan. Ini bererti, cukai jualan dan perkhidmatan yang telah kita hapuskan ialah dari 5% ke 26%.

Selain dari cukai yang tinggi kadarnya, kita juga terpaksa membayar cukai berganda dan bertingkat. Contohnya, seorang pengilang kasut (yang tidak memperoleh pengecualian cukai), perlu membayar cukai jualan 10% untuk beli getah bagi membuat tapak kasut dan 10% bagi membeli kulit. Katakanlah kos bagi membuat sepasang kasut termasuk gaji pekerja, sewa kilang, bil utiliti dan lain-lain adalah RM80 dan jika dia mengambil untung RM20 untuk sepasang kasut, maka kasut tersebut akan dijual kepada pemborong dengan harga RM100.
 Ketika kasut tersebut dijual kepada pemborong, cukai jualan 10% akan dikenakan oleh pengilang kepada pemborong. Ini bermakna, harga kasut itu sudah mempunyai elemen cukai diawal rantaian perniagaan dan harga kasut tersebut menjadi RM110 sepasang. Jika pemborong mengambil untung 20%, maka dia akan ambil RM22. RM 20 memang hak mereka, tapi RM 2 yang pemborong ambil merupakan cukai terselindung dan cukai atas cukai atau dipanggil cukai berganda. 

Begitulah juga bila peruncit membeli kasut tersebut, bila mereka mengambil untung 30% umpamanya, mereka akan mark up bukan hanya ke atas harga barang, sebaliknya mereka akan mark up 30% ke atas cukai sama. Ini dipanggil cukai terselindung dan cukai bertingkat. 

Akhirnya,jumlah cukai yang rakyat kena bayar sebenarnya adalah RM15.60, manakala yang sampai kepada kerajaan cuma RM10. RM 5.60 telah dikaut oleh pemborong dan peruncit sebagai sebahagian dari keuntungan mereka. Harga kasut yang asalnya RM100, akhirnya berharga RM171.60. (rujuk infografik yang disediakan)

Selepas GST dilaksanakan, pengilang tadi hanya perlu bayar 6% bila membeli kulit dan getah. Akan tetapi, mereka boleh menuntut semula cukai input yang mereka bayar sebanyak 6% itu bukan hanya terhadap pembelian getah dan kulit, malah mereka boleh juga tuntut cukai input yang mereka bayar ke atas bil air, api, telefon dan pelbagai perkakas kilang yang lain. 

Ini mengakibatkan kos pengeluaran menjadi lebih murah kerana tiada lagi elemen cukai dalam menghasilkan kasut tersebut. Sungguhpun begitu, akan ada pengilang yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan mengekalkan harga kasut itu pada harga RM100. Apa yang pengguna harus buat ialah mereka harus melaporkan aktiviti pengambilan untung berlebihan ini kepada KPDNKK. Ini adalah kerana perbuatan tersebut menyalahi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Dibawah sistem GST pula, bila kasut tersebut dijual kepada pemborong, pemborong akan dikenakan cukai input sebanyak 6%. Tetapi kali ini pemborong hanya akan mark up 20% dari harga kasut. Mereka tidak akan mark up pada nilai GST yang dibayar. Ini adalah kerana, bila kasut tersebut dijual kepada Peruncit, Pemborong boleh tuntut semula cukai input yang telah dibayar sebanyak RM6 tadi sebaik sahaja mereka menjual barang tersebut kepada peruncit. Begitu juga peruncit, jika mereka mark up 30% sepertimana sebelum GST, mereka hanya akan mark up dari nilai harga kasut, bukan sekali dengan cukai. Ini adalah kerana, mereka juga boleh menuntut cukai imput yang mereka bayar. Kesimpulannya, sistem percukaian baru GST ini sememangnya boleh mengurangkan harga barang kerana kadar cukainya yang lebih rendah serta penghapusan cukai berganda, bertingkat dan bertindih.

KEDUA

Walau bagaimanapun, apa yang kita harapkan melalui GST ini belum nampak kesan positive secara menyeluruh lagi. Berikut disenaraikan punca kenaikan harga barang yang dapat dikesan sepanjang tempoh sebulan ini :

1. BARANGAN YANG TIDAK DICUKAI SEBELUM INI

Terdapat sesetengah barangan sebelum ini tidak dikenakan cukai jualan, tetapi di bawah GST, ianya dikenakan cukai. Contohnya, cukai jualan ke atas telefon bimbit telah dihapuskan tahun 2011, malah setahun dua yang lalu kerajaan memberikan pula vaucher telefon pintar RM250 kepada anak muda berusia 21 tahun ke bawah. Bila kini sudah ramai pengguna telefon pintar dan tiada lagi pengecualian diberikan, memang ianya mengakibatkan kenaikan harga telefon bimbit.

2. STOK LAMA YANG TIDAK BOLEH DITUNTUT CUKAI JUALAN

Bila datang tarikh 1 April, kebanyakan kedai-kedai masih mempunyai stok lama. Stok lama ini boleh dituntut cukai jualan yang telah dibayar. Namun sekiranya ianya sudah digunakan sebahagiannya, maka cukai jualan ke atas produk tersebut tidak boleh dituntut. Ini adalah kerana cukai jualan hanya boleh dituntut semula jika barangan tersebut masih sempurna (intact) atau dalam bungkusan. Contohnya, jika seorang tukang jahit masih ada segulung kain yang baru digunakan untuk membuat sehelai baju, maka selagi gulungan kain itu belum habis digunakan, selagi itulah harga baju yang dijual oleh tukang jahit itu akan mempunyai elemen cukai jualan + GST. Ini juga akan menyebabkan harga baju naik berbanding sebelum GST.

3. PENIAGA TIDAK MENUNTUT CUKAI JUALAN

Stok yang dibeli sebelum April 2015 telah dikenakan cukai jualan, sehubungan dengan itu, para peniga perlu menuntut semula cukai jualan ini. Malangnya, cukai jualan hanya boleh dituntut oleh si pembayar cukai iaitu pengilang. Ini bererti, si peruncit perlu tuntut dengan pemborong, pemborong tuntut dengan pengilang dan hanya pengilang boleh menuntut dengan kastam. Kesukaran menuntut cukai jualan inilah yang mengakibatkan hanya 3 daripada 75,000 orang peniaga yang layak menuntut cukai jualan, telah menuntut cukai jualan tersebut. Inilah yang menyebabkan peniaga-peniaga ini memindahkan beban membayar GST kepada pelanggan mereka. Perkara ini juga menyebabkan kenaikan harga barang kerana ianya sudah menjadi cukai jualan + GST.

Ini juga bermakna, peniaga-peniaga yang telah mengurangkan harga barangan jualan mereka atau mengekalkan harga lama, sebenarnya telah memotong margin keuntungan mereka bagi mengekalkan atau mengurangkan harga barang. Konsep begini juga sebenarnya tidak bagus untuk peniaga dalam jangka masa panjang. Mereka sepatutnya menuntut cukai jualan terlebih dahulu, menurunkan harga barang dan mengenakan GST.

4. PENIAGA AMBIL KESEMPATAN

Ada dikalangan pengilang tetap menjual produk mereka pada harga lama walaupun kos pengeluaran produk mereka berkurangan selepas tiada lagi elemen cukai. Sebaliknya, mereka memindahkan tanggungjawab membayar GST kepada pemborong. Ini menyebabkan Pemborong menaikkan harga barang yang mereka jual kepada peruncit.

5. KURANG FAHAM SISTEM GST

Ada juga dikalangan peniaga yang dengan sewenang-wenangnya mengenakan GST sedangkan mereka tidak mendaftar dengan kastam serta tidak mempunyai Nombor Pendaftaran Kastam. Kenaikan harga juga boleh berlaku sekiranya peniaga-peniaga ini mengenakan GST ke atas harga keseluruhan semua produk jualan mereka tanpa mengira ianya Pembekalan Standard, Pembekalan Sifar atau Pembekalan Dikecualikan. Ini bermakna barangan yang kadar GST nya 0% dan dikecualikan GST turut di kenakan kadar 6%.

6. SABOTAJ

Sejak pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri pada 25 Oktober 2013, sudahpun ada peniaga yang sengaja menaikkan harga barang walaupun GST hanya akan dilaksanakan 17 bulan selepas itu. Malah dengan biadapnya mereka meletakkan gambar PM dan Isteri untuk dipersalahkan atas kenaikan harga ini. Mereka ini terdiri daripada peniaga-peniaga pro pembangkang. Mereka menggunakan GST sebagai alasan untuk mengaut keuntungan berlebihan dan dalam masa yang sama mengharapkan tindakan mereka itu akan menaikkan kemarahan rakyat dan sekaligus memudahkan mereka menjatuhkan kerajaan. Bagi mengatasi masalah peniaga yang mengambil kesempatan dan curang ini, rakyat harus dididik supaya berani melaporkan penyelewengan yang dilakukan oleh peniaga-peniaga ini kepada KPDKK di talian 1-800-866-800 atau melalui aplikasi yang disediakan.

Saya yakin, kenaikan harga barang dengan menggunakan alasan GST ini akan stabil dalam masa 6 bulan ke setahun. Sebagai contoh, jika ada 80% peniaga yang mengambil kesempatan dan 20% peniaga yang tidak mengambil kesempatan. Persaingan yang akan diwujudkan oleh kumpulan 20% ini pasti lambat laun akan menarik golongan yang 80% tadi. Dengan syarat, kempen 3M harus dilancarkan dan digerakkan oleh rakyat dan media. 3M yang saya maksudkan ialah Memilih, Melapor dan Memboikot. Berpandukan shoppers guide yang disediakan oleh KPDNKK, pengguna harus memilih kedai yang menjual pada harga yang paling baik. Mereka perlu melaporkan jika ada pihak yang mengambil kesempatan atau menipu.


Read more...
Wednesday, 22 April 2015

MENANG KALAH Rompin Permatang Pauh; Soal Jawab



Terlalu banyak tren masa kini yang boleh kita senaraikan, tambahan lagi tren penerimaan maklumat secara telus atau sebaliknya. Kebanyakan daripada kita cenderung untuk membaca perenggan pertama atau 100 patah perkataan yang terdahulu, selebihnya kita tinggalkan dan kita sebarkan.

Tren yang lebih hebat diamalkan, mereka hanya membaca tajuk tanpa terlebih dahulu membaca kandungan info sejurus menyebarkannya, malah tanpa rasa bersalah menyalahkan pihak lain jika info yang disebar berunsur firnah. 

Juga menjadi kebiasaan, kita hanya bimbang dan ingin mengambil tahu bagaimana kerajaan membelanjakan 'duit rakyat' namun segelintir lagi enggan mengambil tahu bagaimana kerajaan menjimatkan 'duit rakyat'.

Penulisan ini akan membincangkan soal jawab isu semasa, ada yang bertanya dan ada yang menjawab. Maka tidak adil jika anda tinggalkan ia begitu sahaja tanpa terlebih dahulu memahaminya mahupun menghabiskan pembacaan penulisan ini.

Anda boleh bersetuju dengan soalan, mahupun jawapan, malah anda juga boleh berbuat sebaliknya. Biar apapun pilihan anda, sampaikan dengan baik, elakkan dari menggunakan pendekatan 'troll' yang kini menggantikan budaya hormat menghormati.

Soalan-soalan ini dikumpulkan secara rawak mengikut isu semasa yang mendapat perhatian banyak pihak, dan setiap daripadanya di jawab oleh seorang pengamal media atau aktivis media semasa, Saudara Fariz Bin Razali sebagai usahanya dalam menyampaikan maklumat tepat selain rasional terhadap sesuatu perkara berbangkit.


Soalan saya: Perlaksanaan GST memberi kesan kepada rakyat kerana aduan amat sukar untuk sampai kepada penguatkuasa, harga naik walaupun formula asalnya harga kekal ataupun turun. GST seharusnya hapuskan cukai berganda namun topup masih ditambah cukai 6% dan isu service charge mengambil masa untuk diputuskan oleh peguam negara sebagai tidak menyalahi undang undang untuk dikutip. Menteri buat konklusi kurang aduan tanda rakyat mula terima GST.

Fariz jawab: Perlaksanaan GST memang mengambil masa, usaha giat sedang dijalankan tapi mungkin kurang pendedahan effektif dari media terutamanya media sosial maka usaha mereka nampk kecil. Tapi saya bersetuju bahawa kuat kuasa itu perlu lebih dan lebih di pertingkatkan supaya kestabilan dapat dicapai dengan cepat dan sokongan kuasa pengguna juga perlu memainkan peranan. Bagi saya berilah masa walaupun buat masa sekarang ini saya mengakui kita berada dalam keadaan yang agak tidak stabil. Tapi mengikut perbandingan negara negara yang lain pada permulaan menghadapi GST juga mengalami perkara yang sama.


Soalan saya: 1MDB yang sering dipersoal oleh Tun M dan masih belum dijawab berkenaan kekayaan syarikat itu yang masih berhutang walaupun mempunyai aset yang banyak dan berbilion-bilion.

Fariz jawab: 1MDB merupakan syarikat pelaburan strategi. Kita perlu kaji ciri-ciri syarikat pelaburan strategi. Maka memang lazim syarikat strategi tidak dapat mendedahkan segalanya kepada umum atas kapasiti persaingan pelaburan dunia. Namun aset 1MDB melebihi hutangnya tapi permintaan pembangkang untuk melihat keluar masuk wang sebagai bukti aset tak dapat dibuktikan atas ciri syarikat pelaburan strategi. Akan tetapi PM sudah bertekad menyerahkan audit dibuat di bawah PAC dimana ia akan diaudit oleh wakil dari kedua dua parti dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian tunggu sahajalah keputusan audit keluar dan buat masa ini tuduhan atas 1MDB seperti filem anak Najib dan sebagainya masih dikira persepsi tanpa bukti kukuh.


Saya tanya: Jet Peribadi yang dibeli sebaik rakyat tertekan dengan GST yang turut dikenakan pada makanan biasa seperti sardin dan maggie. Diubah suai pula dengan kos yang berjuta ringgit.

Fariz jawab: Pembelian Jet bukan jet peribadi tetapi JET RASMI dimana pembeliaannya melalui kontrak kerajaan Malaysia bersama pembekal jet. Proses ini telah mengambil masa 5 tahun proses pembelian dan bukannya beli 'on the spot' atas kepentingan PM atau mana mana VIP. Malah jet rasmi ini juga akan digunakan oleh mana mana VIP yang memegang tampuk pemerintahan termasuk Sultan dan sebagainya. Walhal jika Rafizi jadi PM pun dia boleh naik jet ini. Isu ada 5 jet tu cuba selidik kembali kerana ada yang tak boleh dipakai dan sebagainya. Malah kos untuk penyelenggaraan jet lama lebih mahal berbanding pembelian baru dan jet lama dilupuskan di mana dapat mengurangkan kos juga terhadap pembelian jet rasmi yang baru.


Soalan saya: Kes Altantuya yang mula popular semula dengan beberapa persoalan penting. "Siapa arah sirul membunuh?".

Fariz jawab: Makhamah telah memutuskan bahawa DS Najib tiada kaitan tambahan lagi beliau telah pun bersumpah 3 kali di mana dia tiada kaitan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Maka persoalan siapa arahkan tu? bukankah termasuk dalam kategori secara tidak langsung? Mungkin kes ini masih samar, saya pun tak berani nak menghukum tapi serahkan pada pihak berkuasa berbanding kita memutuskan seperti kita pula yang lebih berintegriti berbanding hakim.


Soalan saya: KWSP pula disentuh untuk dilanjutkan tempoh umur kepada 60 tahun dan akan dibincangkan oleh KWSP bersama ahli. Ramai masih membantah.

Fariz jawab: KWSP masih dalam kajian dan ia belum diputuskan secara muktamad, ada pros and cons. dengar cerita ada survey yang dijalankan maka jika tak bersetuju boleh salurkan melalui medium yang sewajarnya


Saya tanya: Kenyataan kenyataan menteri yang tersalah arah atau tambahan lagi dengan media yang semakin bebas menabur fitnah memutar belit kenyataan menteri.

Fariz jawab: Kenyataan menteri itu ada yang benar dan saya akui ada kesilapan yang perlu dibaiki. Namun di media sosial budaya troll tu menyebabkan kesalahan mereka menjadi over board dan ini suatu budaya yang tak baik kepada masyarakat yang menunjukkan betapa negatifnya penerimaan kita kepada sesuatu info sehingga satu kesalahan ucapan yang mungkin juga dispin menutup segala informasi yang lebih banyak manfaat yang wajar kita cerap.


Soalan saya: Tun M dan pengikut-pengikutnya terus-menerus menyerang kepimpinan Perdana Menteri.

Fariz jawab: Tun M dan Najib rasanya mereka patut selesaikan secara kekeluargaan. Buat apa nak berperang sedangkan kita dalam satu kapal? cuma agak mengecewakan bila pro kepada kedua dua belah pihak yang lebih sudu daripada kuah yang mengadu domba dan membuat provokasi mengeruhkan lagi keadaan. Mungkin juga ada pihak lawan yang cuba menambah garam. Biarapapun semoga mereka lebih mementingkan perpaduan berbanding kejatuhan antara satu sama yang lain.

Apa pandangan anda berkenaan gambar ini?

Saya tanya: Pemuda dan puteri UMNO yang dengan yakin menunjukkan sokongan kepada Ketua mereka yang harus dipuji ketaatan mereka namun kritikan sesetengah pihak mengatakan ketaatan itu tidak bertempat atau mengipas dan membodek.

Jawab Fariz: Daripada pandangan positif sepatutnya kita lihat ketaatan kepada presiden parti itu wajar untuk keutuhan parti. Namun persepsi masyarakat luar yang tidak terlibat dengan parti atau mungkin ada kepentingan lain menyebabkan mereka menilai ia sebagai mengipas atau menjilat. Ini perkara normal kita tak mampu nak bagi gambaran pun yang seratus peratus semua orang akan nampak ia sesuatu yang positif. Namun dari segi dalaman parti sokongan mereka itu benar. 


Saya tanya: Apakah Barisan Nasional boleh mempertahankan Parlimen Rompin sekaligus menambah kerusi Parlimen dengan memenangi Permatang Pauh?

Fariz Jawab: Dunia kini dunia tedapat begitu banyak persepsi. Kita lebih terbawa kepada mainan persepsi sehingga ia mungkin ya atau tidak memberi impak kepada pilihanraya. Maka sama-sama kita nantikan


Fariz dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa setiap jawapan ini adalah cetusan ikhlas daripadanya. Jelasnya setiap orang mempunyai pandangan sendiri sejurus memberitahu wartawan UNC bahawa dia amat menghormati pandangan yang lain serta mengharapkan kehormatan yang serupa. 

"Bukankan kritis dalam pemikiran itu indah," tambah Fariz ketika menamatkan jawapan kepada persoalan yang disenaraikan.

Read more...
Tuesday, 14 April 2015

Undian Kelayakan Piala Dunia 2018


Baru sebentar tadi diadakan undian Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 bagi Zon Asia. Pusingan Kelayakan ini merupakan Pusingan Kedua selepas Pusingan Pertama selesai. Konferendasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membuat keputusan bahawa Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 digabungkan bersama Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019. Piala Asia 2019 akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) setahun selepas Piala Dunia 2018 di Rusia. Piala Asia edisi 2019 juga menyaksikan 24 pasukan bakal berentap dalam Pusingan Akhir di negara Timur Tengah tersebut.


Dalam Pusingan Kedua Kelayakan ini, 40 pasukan dibahagikan kepada 8 kumpulan yang mengandungi 5 pasukan. Ini termasuk 6 pasukan yang memenangi perlawanan di Pusingan Pertama. UAE sebagai tuan rumah Piala Asia 2019 juga termasuk dalam Pusingan Kedua ini. Juara setiap kumpulan dan 4 pasukan tempat kedua terbaik bakal layak ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia sekaligus ke 12 tempat Piala Asia 2019. 

Manakala baki 4 tempat kedua kumpulan, 8 pasukan tempat ketiga kumpulan, 4 pasukan terbaik tempat keempat akan ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019. Baki 4 pasukan tempat keempat kumpulan akan bermain perlawanan play-off.



Segala perubahan bakal dibuat sekiranya UAE layak ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia nanti. Malaysia telah diletakkan dalam Pot 5 bersama Hong Kong, Bangladesh, Yaman, Guam, Laos, Kemboja dan Chinese Taipei. Penentuan Pot ini ditentukan melalui Ranking terkini dikeluarkan FIFA.

Malaysia telah diundi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Palestin dan Timor Lester.

Empat perlawanan bakal diadakan di Malaysia dan empat lagi di negara lawan.

Berikut merupakan undian penuh:
Kumpulan A: UAE, Arab Saudi, Palestin, Timor Leste, Malaysia
Kumpulan B: Australia, Jepun, Tajikistan, Kyrgzstan, Bangladesh
Kumpulan C: China, Qatar, Maldives, Bhutan, Hong Kong
Kumpulan D: Iran, Oman, India, Turkmenistan, Guam
Kumpulan E: Jepun, Syria, Afghanistan, Maldives, Kemboja
Kumpulan F: Iraq, Vietnam, Thailand, Indonesia, Chinese Taipei
Kumpulan G: Korea Selatan, Kuwait, Lubnan, Myanmar, Laos
Kumpulan H: Uzbekistan, Bahrain, Filipina, Korea Utara, Yaman

Diharapkan Malaysia bakal menempuh Kelayakan ini dengan jayanya.




Read more...
Friday, 10 April 2015

Agrosis USIM Melawat Ringgit Mart

Kelab Agrosis Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membuat lawatan penanda aras (bench-marking) di Ringgit Mart, UiTM Kampus Puncak Alam. Lawatan sehari itu diadakan pada 8 Mac lalu. Program ini diadakan bertujuan untuk mempelajari bagaimana Pusat Pengajian Pemasaran, Peruncitan dan Keusahawanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM menguruskan Ringgit Mart. Ringgit Mart merupakan sebuah kedai simulasi yang digunakan untuk melatih pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Peruncitan.


Menurut wakil Kelab Agrosis USIM, Saudara Mohd Asyraf Misran, lawatan ini disertai kira-kira 30 orang peserta termasuk pengiring. Mereka mendapat input yang baik semasa lawatan ini dijalankan. Mereka mempelajari bagaimana Ringgit Mart diuruskan termasuklah pengurusan stok dan memberi servis kepada pelanggan. Menurut Saudara Asyraf, mereka merancang juga untuk membuka kedai serbaneka sendiri dan menjadikan Ringgit Mart sebagai penanda aras mereka. Kelab Agrosis USIM amat mengagumi kewujudan Ringgit Mart yang amat memberikan perkhidmatan baik kepada pelanggan yang rata-ratanya daripada kalangan pelajar dan staf UiTM Puncak Alam.



Read more...
 
Hak Cipta © 2014 University News Capital | Web Master | Dasar | Hubungi Kami